PUTRAJAYA, 25 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Hanoi, Vietnam pada 25 dan 26 Februari ini.
Wisma Putra memaklumkan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada ASEAN Future Forum (AFF) 2025 pada 26 Februari.
Forum tersebut berfungsi sebagai platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan serta pihak berkepentingan bagi membincangkan masa depan ASEAN ke arah komuniti yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing.
"Ucaptama Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI, aspirasi sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta keutamaan negara dalam pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim, dan tenaga boleh diperbaharui," menurut Wisma Putra menerusi kenyataan.
Dalam rangka lawatan itu, Anwar turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam, Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong dan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam Pham Minh Chinh.
Pertemuan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia-Vietnam di bawah rangka Perkongsian Strategik Komprehensif.
Beberapa bidang utama akan menjadi tumpuan, antaranya perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga dan pelancongan serta isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).
Selain itu, pemimpin kedua-dua negara akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dalam usaha memperkukuh kerjasama ASEAN.
"Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN, selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di bawah Kepengerusian Malaysia tahun ini.
"Pertemuan ini juga dijangka memperluas hubungan dua hala Malaysia-Vietnam serta memperkukuh kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa," menurut kenyataan itu.