fb fb fb fb fb

Program Mai Derma Darah, lebih 5,000 pek darah didermakan

(Foto BERNAMA)

KANGAR, 15 Julai- Program Mai Derma Darah dianjurkan UMNO Bahagian Kangar dan diselaraskan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kangar secara bulanan dengan kerjasama Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah.

Inisiatif ini dilaksanakan berikutan 200 pek darah diperlukan setiap minggu atau purata mencecah 800 pek darah setiap bulan bagi kegunaan ketika mengendalikan pelbagai kes kecemasan di Hospital Tuanku Fauziah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, program bulanan berkenaan menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 50 pek darah didermakan orang ramai setiap kali dilaksanakan.

"Program sebegini memberi peluang kepada mana-mana penderma yang layak untuk tampil menderma serta menjadikannya sebagai salah satu sumbangan kepada yang memerlukan bekalan darah.

"Bekalan darah yang mencukupi hanya dapat diperoleh melalui sumbangan tetap oleh penderma darah secara sukarela dan komitmen penderma darah secara tetap akan membantu mengekalkan bekalan darah yang mencukupi dan selamat," katanya ketika meninjau Program Mai Derma Darah di Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah di sini.

Berdasarkan data, bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu, sebanyak 5,264 pek darah didermakan hasil pelbagai program derma darah bersama komuniti yang dilaksanakan seluruh Perlis atau secara datang terus ke Unit Transfusi Darah.

UMNO Bahagian Kangar turut merancang untuk melaksanakan program derma darah lebih kerap khususnya sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di setiap lokasi program.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu