KOTA BHARU, 15 Julai- Penggunaan kad pengenalan diri (ID) khas bagi pembelian minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi sedang dipertimbangkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu sejajar dengan pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan diguna pakai bagi pelaksanaan subsidi bersasar pada tahun depan.
"PADU akan memudahkan lagi proses pengumpulan maklumat yang berbeza dari setiap kementerian di negara ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Jualan Rahmah Bergerak di Padang Perumahan Taman Desa Rahmat, Guchil Bayam, di sini.
Menurut beliau, bagi pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan minyak petrol, pihaknya memerlukan pangkalan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“LHDN hendak ketahui berapa pendapatan dia dan JPJ untuk mengetahui berapa besar keretanya jadi kita gabungkan dua data itu.
"Kita proses baru kita tahu siapa benar-benar layak kalau kita kata kita hendak kereta 2.0 (cc) ke bawah dan pendapatan sekian-sekian jadi bila kita gabung barulah kita boleh kenal pasti siapa yang layak untuk terima dan mungkin kita akan menggunakan id khas untuk dia membeli petrol tersebut dengan subsidi,” tambah Fuziah.
Mengulas mengenai dakwaan harga barang akan meningkat bermula bulan depan beliau berkata spekulasi itu tidak berdasarkan fakta.
Indeks Harga Pengguna atau inflasi menunjukkan penurunan daripada 3.3% pada bulan April kepada 2.8% pada Mei.