fb fb fb fb fb

Program Madani Rakyat 2024 Kuantan sasar lebih 300,000 pengunjung

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang

KUANTAN, 5 Julai - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan lebih 300,000 pengunjung ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang.

Sebanyak 34 reruai pameran serta 188 perkhidmatan daripada kementerian, pejabat setiausaha kerajaan (PSUK) Negeri dan agensi menanti pengunjung pada program yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Menteri Datuk Rubiah Wang berkata, pelaksanaan program itu kesinambungan program sama yang telah diadakan di Selangor dan Pulau Pinang.

"Yang mana sebelum ini kita sudah laksanakan di beberapa lokasi yang mana asalnya di Bukit Jalil Program MADANI yang telah pun mendapat maklum balas yang amat baik di semua tempat. Dan harapan kita di zon timur juga akan mendapat maklum balas yang lebih baik lagi daripada masyarakat setempat daripada negeri Pahang khususnya Kelantan dan Terengganu," kata Rubiah.

Beliau bercakap kepada media selepas sesi 'walkabout' Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan.

Menurutnya, program tersebut turut dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri (PACU), kementerian peneraju dan kerajaan negeri.

Inisiatif itu untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Jelasnya, antara fokus penganjuran program itu termasuklah aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya.

Selain itu KKDW juga mempromosikan produk-produk dan aktiviti pelancongan luar bandar misalnya, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan menyerahkan sebuah motosikal jenis Y15ZR Yamaha bernilai sekitar RM10,000 sumbangan RISDA Fleet Sendirian Berhad, anak syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebagai hadiah utama cabutan bertuah pada program tersebut.

TETITIA YUSOFF