fb fb fb fb fb

Program Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia Terengganu cecah RM1 juta

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- Program Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia di Terengganu berjaya merekodkan lebih RM1 juta nilai jualan di 44 lokasi sejak dilaksanakan Jun lalu.

Jumlah itu memberi penjimatan sehingga lebih RM100,000 keatas barangan terpilih melibatkan 714 usahawan diseluruh negeri itu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri, Nukman Hashim berkata selain peruntukan sedia ada, penjimatan ini turut melibatkan subsidi daripada pemimpin masyarakat, persatuan dan masjid.

Barangan utama seperti ayam, telur, ikan, sayur serta buah buahan boleh didapati secara terus dari ladang ke pengguna dengan potongan harga sehingga 10%.

"Usahawan ini seronok nak sertai sebab kita tidak kenakan sebarang caj dan kita sediakan kanopi namun prinsipnya harga yang dijual adalah lebih rendah berbanding pasar tani kerana kita kenakan caj.

Ini kerana Program Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia ini di bawah inisiatif Jihad Tangani Inflasi maka kita ada peruntukan untuk program seumpama ini bagi bersama-sama membantu rakyat," kata Nukman Hashim kepada pemberita selepas meninjau program tersebut di Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu.


(Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri, Nukman Hashim
berkata demikian kepada media RTM)

Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Kubang Ikan, Abdul Muhdi Md Yassin sambutan program diterima baik masyarakat setempat.

"Walaupun pertama kali dianjurkan, sambutannya diterima baik oleh masyarakat. Maka, saya rasa program sebegini boleh diteruskan lagi sekali gus boleh kita jadikan program tradisi di kampung kita (di sini)," kata Abdul Muhdi kepada RTM.

Program ini dijangka akan diteruskan dengan pelaksanaan 70 program lagi sehingga hujung tahun ini.

Media Baharu