fb fb fb fb fb

Ops Gerak JAS, sasar pengawalan pelepasan asap hitam kenderaan ke ruang udara

LABUAN, 30 Ogos - Lebih 200 kenderaan perdagangan dan persendirian dan hampir 900 individu diperiksa menerusi Ops Gerak yang diterajui oleh Jabatan Alam Sekitar Labuan dengan kolaborasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Labuan.

Ia membabitkan 30 pegawai dan anggota penguatkuasaan yang terlibat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan, Amir Hamzah Musa berkata pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan operasi itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut esok.

Selain itu, pemeriksaan dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Fokus utama pemeriksaan operasi pada hari ini adalah kita hendak memastikan terdapat kawalan terhadap pelepasan asap hitam dari kenderaan diesel bagi memastikan udara di Labuan ini bersih untuk masyarakat di Labuan," kata Amir Hamzah kepada pemberita RTM ketika ditemui di Stesen JPJ Labuan.

Dalam pada itu, ketika operasi berkenaan dilakukan, pelbagai pemeriksaan lain turut dibuat membabitkan penyalahgunaan dadah, dokumen pengenalan sah serta pemeriksaan kenderaan komersial dan persendirian.

Hasilnya, sebanyak satu kompaun dan 19 notis kesalahan dengan pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh agensi yang terlibat.

Di samping itu, dua individu tempatan telah ditahan disebabkan positif dadah jenis syabu selepas ujian air kencing dilakukan.


(Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan, Amir Hamzah Musa berkata
demikian ketika ditemu bual media RTM)

Media Baharu