fb fb fb fb fb

Program jualan rahmah dicadang diadakan setiap hujung minggu - Fuziah

BENTONG, 19 Januari - Program Jualan Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata terdapat cadangan agar kempen berkenaan diadakan setiap hujung minggu dan bukan sahaja dilaksanakan pada sambutan tertentu.

(Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh)

"Jenama jualan rahmah ini sebahagian daripada jenama payung rahmah dan ini adalah inisiatif KPDN tetapi sudahpun diwartakan oleh kabinet sebagai jenama rahmah untuk semua inisiatif kerajaan perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita di Jualan Rahmah dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Tahun Baru Cina, di sini.

Tambah Fuziah, penyertaan pemain industri khususnya pasar raya besar dialu-alukan untuk terlibat dalam program jualan tersebut yang dilihat akan memberikan situasi menang-menang antara pemain industri dan pengguna.

Mengulas mengenai isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran ketika ini, Fuziah berkata masalah tersebut dijangka akan kembali stabil dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya, isu tersebut sudah bermula sejak beberapa bulan lalu kerana kekurangan baka ayam penelur.

"Jadi bila kita dah dapat bawa baka ayam yang baharu, ia perlukan tempoh enam bulan untuk bertelur. Tempoh enam bulan itu sudah hampir ke penghujung, sudah fasa akhir.

"Apabila kita sudah sampai ke fasa tersebut bekalan telur akan stabil dalam tempoh sebulan dua ini," katanya.

Media Baharu