fb fb fb fb fb

Malaysia Madani fokus kesejahteraan rakyat

(Foto Bernama)

PUTRAJAYA, 19 Januari- 'Malaysia Madani' bukan sesuatu dasar baharu yang meninggalkan dasar-dasar lama.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pengenalannya adalah langkah pertama kerajaan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

"Idealisme ini mesti diterjemahkan kepada dasar yang sedia ada dan modifikasi pada dasar-dasar kerajaan yang ada.

"Yang lebih penting ialah soal implimentasi dari segi idealisme seorang pemimpin. Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melontarkan pandangan mengenai masyarakat Madani sejak lebih suku abad yang lalu.

"Apabila ditakdirkan beliau menjadi Perdana Menteri pada kerajaan yang ada, tentunya kerajaan yang diketuai oleh beliau dan dukungan pelbagai parti harus memberikan penghayatan dan membuat susulan kepada pelaksanaan itu dan akhirnya kita lihat ia memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

Beliau ditemui media selepas perasmian Amanat Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan kini perlu fokus dalam menerapkan dasar Malaysia Madani supaya semua pihak dapat menghayati pelaksanaannya.

Ahmad Zahid turut yakin Malaysia Madani akan mewujudkan keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan.

Malaysia Madani diteliti untuk diaplikasikan

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan meneliti dasar Malaysia Madani bagi mengaplikasikan dalam pelaksanaan gerak kerja.

Menurutnya, pihak kementerian juga akan mengadakan pemukiman bagi mendalami dasar berkenaan.

"Selepas ini, semua kementerian, semua agensi dan badan-badan kerajaan akan mula meneliti dokumen ini dan mengaplikasikan dalam dasar dan juga pelaksanaan bagi gerak kerja kementerian.

"Bagi saya sendiri, Kementerian Komunikasi dan Digital, kami ada satu pemukiman pada hari ini dan kita akan meneliti apa yang telah diumum oleh Perdana Menteri serta gagasan yang dibawa ini," katanya.

(Fahmi Fadzil)

Media Baharu