KANGAR, 28 April- Seramai 100 peserta menyertai Program Jom Sihat Komuniti Wang Ulu di Program Perumahan Rakyat (PPR) Bintong.
Program itu menjadi platform untuk masyarakat pelbagai usia menghilangkan tekanan dan kekal sihat dengan melakukan aktiviti senamrobik secara santai.
Menurut Pengerusi Kelab Sukan Kecergasan Senamrobik Kayangan, Hashimah Ismail, usaha melaksanakan program pada cuti hujung minggu juga untuk mewujudkan komuniti yang mengambil berat akan kesihatan dan kecergasan untuk kebaikan masa hadapan.
"Walaupun aktiviti ini nampak bersahaja dan santai, namun tidak ramai yang sedar akan manfaatnya terutama dalam usaha menjalin hubungan silaturahim yang erat, menerapkan nilai kesatuan dan kerjasama serta memupuk nilai-nilai murni di kalangan komuniti.
"Di samping itu, kesan positif yang lain sudah pasti memberi manfaat kepada kesihatan jantung, meningkatkan kecergasan dan amalan gaya hidup sihat," jelas Hashimah pada Program Jom Sihat di Kampung Wang Ulu, Bintong di sini.