fb fb fb fb fb

Program Jom Masuk Kampung, erat hubungan pelajar, komuniti

Para pelajar UiTM membantu penduduk semasa kenduri kampung

MATA AYER, 14 Januari- Program Jom Masuk Kampung inisiatif yang dilaksanakan oleh 40 pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis bagi pembentukan sahsiah diri pelajar selain memberi pendedahan kepada peserta dalam mempelajari budaya sesuatu tempat dan menyumbang bakti dalam aktiviti kesukarelawanan bersama-sama komuniti.

Penyelaras Kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Guar Nangka Siti Berenee Yahaya berkata, usaha dilaksanakan pelajar universiti itu sebahagian proses bagi menyerlahkan bakat kepemimpinan mahasiswa dalam tempoh pengajian dan selepas tamat pengajian.

"Program itu juga bagi mengukuhkan hubungan silaturahim antara pelajar dengan masyarakat kampung dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama termasuklah gotong-royong membersihkan surau, sukaneka, senamrobik, kenduri kampung dan sukan rakyat bersama lebih 300 penduduk.

"Inisiatif pelaksanaan Jom Masuk Kampung juga mampu membina perspektif hidup yang positif dalam kalangan pelajar dengan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif dalam kehidupan seharian dengan turut melibatkan komuniti setempat dari pelbagai peringkat usia," katanya dalam Program Jom Masuk Kampung di Kampung Baru Guar Nangka, di sini.

Program anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis itu mendapat sokongan padu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Guar Nangka dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) kali kedua dilaksanakan universiti itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI