fb fb fb fb fb

Program RTK, majikan di Terengganu diminta segera laksana pengecaman biometrik

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu, Azhar Abd Hamid

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - 712 Majikan di Terengganu yang telah berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) melibatkan pekerja asing yang berakhir 31 Disember lalu diminta segera membawa pekerja mereka ke Jabatan Imigresen untuk melakukan pengecaman sistem biometrik

Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya majikan gagal melakukan proses tersebut.

Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata sejumlah 6,855 warga asing telah didaftarkan di bawah program RTK.

"Pemutihan ini adalah pendaftaran daripada majikan jadi atas tiket pendaftaran tadi kita tidak akan ambil tindakan tertentulah sehinggalah selesai program iaitu pada 31 Disember 2023.

"Jadi sekarang adalah untuk kita ambik bio metrik pada majikan yang sudah pun daftar. Sekarang adalah tempoh untuk kita buat operasi penguat kuasaan untuk kenal pasti mana- mana warga asing di negara kita yang langsung tiada pendaftaran untuk kita bawa ke tindakan perundangan," katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan, di sini.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata sepanjang 2023, JIM Terengganu berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 5,656 warga asing dan daripada jumlah itu seramai 1,226 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu seramai 2,132 warga asing yang berada di Depot Tahanan Imigresen di Ajil di Hulu Terengganu telah berjaya dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN