KUALA LUMPUR, 14 Januari – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkenalkan pas langganan OKU Smile khusus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Prasarana memaklumkan, pengaktifan dan langganan pas OKU Smile akan bermula 15 Januari ini bagi membolehkan pengguna OKU menikmati tambang percuma bermula 1 Februari depan.
"Pas ini adalah untuk semua pemegang kad konsesi OKU Prasarana yang sedia ada dan pemohon baharu," kata Prasarana menerusi kenyataan.
Tambah Prasarana, maklumat berkaitan pas OKU Smile boleh didapati di laman web www.myrapid.com.my atau di platform media sosial Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.
"Bagi sebarang pertanyaan, pengguna juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL 03-7885 2585; Rapid Penang 04-255 8000 atau Rapid Kuantan 09-5663686/019-3858607," kata Prasarana.
Pengenalan inisiatif pas OKU Smile itu susulan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 21 Disember lalu mengenai insentif tambang percuma untuk komuniti OKU bagi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.