fb fb fb fb fb

Program JKIP sediakan 55,000 lagi peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) komited menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan sepanjang pelanjutan tempoh program Jamin Kerja Insentif Penggajian (JKIP) selama 6 bulan lagi.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sasaran tersebut adalah bagi menyokong matlamat program JKIP mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini.

"Lanjutan program tersebut memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program Malaysianization), Orang Kurang Upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan peruntukan sedia ada berjumlah RM2 bilion bawah bajet 2022. Sebanyak RM475 juta akan disalurkan oleh PERKESO sebagai insentif kepada para majikan," kata Dr Mohammed Azman Aziz di sini.

Tambahnya, sepanjang tempoh pelanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil adalah kekal seperti sebelum ini.

(Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan Program JKIP sediakan
55,000 lagi peluang pekerjaan)

Sementara itu, Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berakhir 2 hari lepas telah menarik hampir 14,000 pengunjung.

Ekspo yang berlangsung selama 5 hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu mencipta kejayaan apabila membantu seramai 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan manakala 10,698 pencari kerja pula berjaya ke peringkat temuduga kedua.

Mereka yang sedang mencari pekerjaan diminta mendaftar di Portal MYFutureJobs untuk meninjau peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Isnin lepas, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun kepada 31 Disember ini.

Media Baharu