fb fb fb fb fb

Iktibar hijrah, proses perubahan diri kepada yang lebih baik

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Saudara, hijrah Rasulullah SAW bukan semata-mata melibatkan proses perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Malah, ia juga boleh dijadikan iktibar sebagai proses perubahan kepada satu keadaan yang lebih baik.

Perjalanan hidup setiap manusia tidak semuanya sama.

Untuk melakukan proses penghijrahan, seseorang itu digalakkan untuk memahami erti hijrah dan menterjemahkan makna hijrah dalam kehidupan supaya memberi erti lebih bermakna.

Seperti June Yong Qi, dilahirkan dalam keluarga yang menganut agama Buddha, pencarian matlamat hidupnya menjadi lengkap apabila dikurniakan hidayah kembali kepada fitrah ketika umurnya 18 tahun.

"Cabaran saudara baharu ni adalah sebenarnya bagi Qaseh cabaran terbesar adalah istiqamahlah sebab banyak benda yang menggoda di luar sana. Mungkin contoh tawaran pekerjaan yang perlukan orang yang tak pakai tudung….jadi istiqamah. Setakat ini susahlah untuk Qaseh tapi saya cuba yang terbaik. Sebenarnya kelainan tu dah rasa dalam perjalanan mencari tu. Kelainan tu sikit demi sedikit cumanya ketenangan tu ataupun perasaan tu mengalami perubahan bila dalam perjalanan mencari Islam tu," kata June atau nama Islamnya Nur Qaseh Qurratul Aini Abdullah.

(June atau nama Islamnya Nur Qaseh)

Setelah empat tahun memeluk Islam, gadis ini bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga yang menerima diri baharunya itu.

"Konsep hijrah yang besar dan umum dalam agama kita ialah meninggalkan apa jua yang dilarang ‘’al muhajir man hajara man Allah…’’ orang yang berhijrah itu adalah sesiapa sahaja yang meninggalkan apa jua yang dilarang oleh Allah taala. Dan dia ‘’madhin’’ berjalan terus sampai sepanjang hayat kita. Itu konsep dia," kata Naib Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Fauzi Deraman.

(Dr. Fauzi Deraman)

Hijrah juga mengingatkan kita kepada pengorbanan yang dilalui junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Ibaratnya, tahun hijrah atau tahun baharu Islam ini membukakan suatu lembaran serta semangat bhaaru kepada setiap individu Muslim.

Penghijrahan amat penting dilakukan dari pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam. inilah dikatakan perubahan daripada kegelapan kepada cahaya iman demi usaha untuk kembali kepada fitrah. Salam Maal Hijrah.

Laporan Alisa Yusra

Media Baharu