fb fb fb fb fb

Hari Koperasi Negara 2022 dijangka beri pulangan RM40 bilion kepada sektor ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Program Hari Koperasi Negara 2022 yang melibatkan 400 pempamer dan padanan perniagaan dijangka memberi pulangan sehingga RM40 bilion kepada sektor ekonomi negara.

Pempamer bukan hanya terdiri daripada warga tempatan malah turut disertai negara luar seperti Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Hungary.

Menurut Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, penglibatan pempamer dan padanan perniagaan dari luar negara tersebut membuka peluang gerakan koperasi ke peringkat antarabangsa.

"Kami akan melebarkan kerjasama ini ke peringkat antarabangsa dan seluruh dunia supaya gerakan koperasi ini yang diidamkan menjadi sektor ketiga dalam negara menjadi kenyataan.

Dari segi pameran yang melibatkan 400 reruai ini, meliputi pelbagai produk yang dikeluarkan oleh koperasi yang secara keseluruhannya memberi pulangan sebanyak RM40 bilion kepada sektor ekonomi negara," katanya kepada RTM.

(Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia)

Tambah Datuk Mohd Ali, program berkenaan juga merupakan salah satu usaha membantu usahawan terutama ketika berdepan inflasi.

Jelasnya, ia merupakan peluang terbaik bagi koperator untuk mempamerkan barangan mereka.

"Produk-produk yang melibatkan pakaian, makanan antara yang mendapat tempat dalam kalangan pengunjung dan bagi mereka yang terlibat dalam sektor-sektor lain terutamanya dalam sektor pelancongan adalah antara produk yang penting dalam sektor koperasi di negara kita," katanya lagi.

Tambah beliau, program tersebut turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya festival makanan asia, persembahan kebudayaan dan Forum Perdana Ehwal Islam.

Hari Koperasi Negara 2022 berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mines, Seri Kembangan.

Media Baharu