fb fb fb fb fb

Kesan subsidi, larangan eksport ayam dinilai selepas 31 Ogos

PUTRAJAYA, 29 Julai- Kerajaan akan mengkaji sama ada akan mengekalkan subsidi, harga apungan atau membuka semula eksport ayam bulat ke luar negara selepas 31 Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata perkara itu akan dipertimbangkan dalam masa sebulan bagi melihat perkembangan industri ternakan dan perusahaan ayam dalam negara.

"Itu akan kita pertimbangkan, kita ada sebulan lagi untuk melihat perkembangan yang akan berlaku dalam industri ternakan dan juga perusahaan ayam di negara kita.

"Harga siling diwartakan melalui warta yang di buat oleh KPDNHEP dan warta tu akan berakhir pada 31 Ogos. Eksport dan harga ayam akan dibincangkan selepas 31Ogos ya," kata Dr Ronald selepas merasmikan Pelancaran Pavilion AgroTech Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini.

(Kesan subsidi, larangan eksport ayam dinilai selepas 31 Ogos)

Harga siling ayam ditetapkan RM9.40 sekilogram untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Ogos manakala harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen (sebiji); gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen - sebiji) di Semenanjung.

Beliau turut mengambil maklum ada sesetengah tempat yang menjual ayam standard lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan.

Sebanyak lapan pempamer akan menyertai pameran AgroTech MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 4 hingga 14 Ogos ini.


(Datuk Seri Dr Ronald Kiandee)

Media Baharu