ARAU, 1 September - Lebih 250 penduduk bawah Komuniti MADANI Padang Siding memeriahkan Program Jiwa Komuniti Madani@ Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis.
Program itu melibatkan konvoi merdeka 67 peserta bermotosikal, pertandingan memasak asam pedas dan pengisahan kemerdekaan serta kibaran Jalur Gemilang.
Pengerusi Komuniti MADANI Padang Siding Rosli Ishak berkata, program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat khususnya bagi mengisi sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia.
"Program Jiwa Komuniti MADANI Khas Merdeka satu usaha meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan generasi hari ini khususnya dalam kalangan anak muda.
"Bukan hanya Program JIWA Komuniti MADANI @ Merdeka, lebih banyak program bersama-sama komuniti setempat akan dilaksanakan dalam memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain terutamanya ketika menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia," kata Rosli Ishak.
Turut hadir pada program itu ialah Penyelaras Komuniti Madani Parlimen Arau Zaid Ahmad Zubid dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau Rozieana Ahmad.