
JOHOR BAHRU, 6 Julai – Program Jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya dijadikan pentas kempen politik untuk meraih sokongan, khususnya dalam kalangan pelajar.
- Aduan mahasiswa dipaksa hadir tanpa dimaklum tujuan sebenar program.
- Setibanya, mereka didakwa diarahkan menukar pakaian dan menjerit slogan berunsur politik.
- Program sepatutnya fokus pendedahan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan prospek kerjaya, bukan platform kempen politik.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong berkata, pihaknya menerima aduan menerusi media sosial terdapat program yang mewajibkan kehadiran pelajar sebelum mereka didedahkan dengan ucapan berunsur politik, sekali gus mempersoalkan kewajaran tindakan itu.
“Semalam saya menerima aduan bahawa mahasiswa di sebuah kolej TVET telah dijemput menghadiri program Jelajah TVET di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Kluang.
“Menurut laporan, kehadiran mereka diwajibkan pihak kolej, namun mahasiswa tidak dimaklumkan tujuan sebenar program tersebut. Setibanya di lokasi, mereka didakwa diminta menukar pakaian kepada baju serta diarahkan untuk menjerit slogan tertentu,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.
Program berkenaan sepatutnya memberi tumpuan kepada pendedahan mengenai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan prospek kerjaya, bukannya menyampaikan mesej politik.