
MEXICO CITY, 6 Julai- Pengendali England, Thomas Tuchel menyifatkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mexico pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 sebagai persembahan ‘heroic’ atau penuh semangat juang selepas skuad The Three Lions mengharungi pelbagai cabaran untuk mara ke suku akhir.
- England bermain lebih 45 minit dengan 10 pemain selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah, namun mengekalkan kemenangan.
- Jude Bellingham menjaring dua gol pantas; Harry Kane dan Raúl Jiménez kedua-duanya menjaring penalti, perlawanan kekal sengit.
- Jordan Henderson mengalami kecederaan pergelangan tangan ketika meraikan; Tuchel mempersoalkan mutu pengadilan dan keputusan VAR berhubung penalti Mexico.
England bangkit mengatasi tekanan beraksi di Stadium Azteca yang dipenuhi penyokong tuan rumah, selain terpaksa bermain dengan 10 pemain lebih 45 minit selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah.
“Saya merasakan sebelum perlawanan lagi ia tidak seperti aksi pusingan 16 terbaik. Ia seolah-olah kami memenangi satu perlawanan akhir apabila pengadil meniup wisel penamat.
“Bermain selama 40 hingga 50 minit di altitud tinggi menentang tuan rumah merupakan satu detik yang menggembirakan. Ia satu persembahan dan keputusan yang benar-benar heroic,” kata Tuchel.
Dua jaringan pantas Jude Bellingham meletakkan England di hadapan sebelum Mexico merapatkan kedudukan menerusi Julián Quiñones.
Harry Kane kemudian mengembalikan kelebihan dua gol England menerusi sepakan penalti, sebelum Raúl Jiménez menyempurnakan penalti buat Mexico untuk menghidupkan semula saingan. Namun, England berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu turut menebus kekecewaan England di Stadium Azteca selepas tewas kepada Argentina pada suku akhir Piala Dunia 1986.
England bakal berdepan Norway pada aksi suku akhir selepas pasukan Scandinavia itu mengejutkan Brazil hasil dua jaringan Erling Haaland.
Bagaimanapun, kegembiraan England sedikit tercalar apabila pemain tengah Jordan Henderson mengalami kecederaan pada pergelangan tangan selepas terjatuh pada papan iklan ketika meraikan kemenangan.
“Jordan mengalami kecederaan pada pergelangan tangan. Saya belum mengetahui prosedur lanjut, cuma doktor memaklumkan beliau kini berada di hospital,” katanya.
Tuchel turut mempersoalkan keputusan pengadil dan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Mexico.
“Pengadil tidak cukup baik. Pegawai keempat juga tidak cukup baik. VAR membatalkan keputusan asal untuk memberikan penalti kepada Mexico. Pada pandangan saya, ia bukan kesilapan yang jelas,” katanya. -AFP