FAM siasat insiden pemain disambar petir di Melaka

Foto FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bolasepak Melaka (PB Melaka) dan pihak penganjur berhubung insiden tragis seorang pemain yang dipercayai maut akibat disambar petir ketika aksi perlawanan persahabatan di Melaka, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden tersebut.
  • FAM menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar.
  • Aspek keselamatan dan pemantauan cuaca sebelum dan semasa perlawanan perlu diutamakan oleh semua pihak bola sepak.
  • Galakan penggunaan Sistem Pengesan Kilat serta menangguhkan perlawanan jika perlu dianggap tindakan bertanggungjawab lindungi nyawa.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, laporan tersebut diperlukan bagi meneliti kronologi kejadian serta tindakan yang telah diambil oleh pihak terlibat, selain mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam aspek keselamatan perlawanan.

“FAM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang dipercayai terkorban dalam insiden membabitkan pertemuan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu.

“FAM dalam masa sama menegaskan pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu wajar menjadi peringatan kepada semua pihak dalam komuniti bola sepak bahawa aspek keselamatan perlu sentiasa diutamakan, khususnya berkaitan keadaan cuaca semasa perlawanan.

“FAM turut menyeru semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi dan penganjur perlawanan agar sentiasa memantau keadaan cuaca sebelum dan semasa perlawanan berlangsung,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggalakkan penggunaan Sistem Pengesan Kilat di lokasi pertandingan bagi memberi amaran awal kepada pegawai perlawanan untuk mengambil tindakan keselamatan segera.

Katanya, penggunaan sistem tersebut sudah menjadi amalan dalam beberapa kejohanan dan liga profesional sebagai sebahagian prosedur pengurusan risiko.

Beliau menegaskan, keputusan untuk menangguhkan atau menghentikan perlawanan atas faktor keselamatan bukan kelemahan, sebaliknya tindakan bertanggungjawab demi melindungi nyawa pemain dan pegawai perlawanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.