SEREMBAN, 6 Jun - Sebanyak 38 lokasi Program Hari Mantai Jualan RAHMAH MADANI dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan bersempena Sambutan Hari Raya Aidiladha, esok.
Menurut Penolong Penyelaras RAHMAH Negeri Sembilan, Mohd Redzuan A Karim, pelbagai barangan ditawarkan dengan potongan harga hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
"Terdapat 17 program jualan Rahmah di seluruh negeri dan 1 di pasar Port Dickson. Kami bawakan daging-daging segar tempatan sebanyak 400 kilogram untuk dibeli para pelanggan dengan harga yang murah hingga 30 peratus potongan harga," katanya ketika ditemui kru RTM di Program Hari Mantai Jualan RAHMAH MADANI Parlimen Rasah di Seremban.
Dalam pada itu, orang ramai berpandangan program tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan yang baik bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang berpatutan.
Lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang giat membuat persediaan sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.