KUALA LUMPUR, 6 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam tidak melupakan ikhtiar membantu saudara seagama yang berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya yang terus dicengkam penderitaan khususnya di Gaza.
Menerusi perkongsian di Facebook , beliau menjelaskan, ketika melaungkan semarak takbir Aidiladha yang menyemai inti maksud kalimah Allahuakbar, umat Islam tidak akan terlepas daripada ikhtiar membantu golongan itu.
Jelas Perdana Menteri, Aidiladha bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi suatu manifestasi solidariti dan keinsafan sejagat.
"Tatkala kıta laungkan semarak takbir Aidiladha menyemai inti maksud kalimah Allahuakbar, kita juga tidak akan lepas daripada ikhtiar membantu saudara kita berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya, dan pada masa yang sama terus dicengkam penderitaan khususnya di Gaza dan saudara kita yang lain.
"Kemuliaan dan semangat Aidiladha sudah pasti tidak lepas daripada kisah inspirasi Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail yang dizahirkan melalui pengorbanan yang dilakukan menjunjung perintah Allah SWT.
"Selain ibrah pengorbanan seorang bapa dan Rasul, kisah Nabi Ibrahim juga sarat dengan legasi kenabian pejuang kebenaran membawa mesej hikmah dan pesan pendidikan kenabian yang mewariskan model dakwah berorientasikan budaya wacana yang sihat dan segar.
"Nabi Ibrahim tidak berpidato secara monolog tetapi sering mengajak khalayaknya untuk berdialog dan berhujah yang meyakinkan sebagai rencana dan strategi merangsang keupayaan menilai dengan akal sihat serta menghargai kebenaran, sekali gus membina warga yang cerdas dan punya disiplin kendiri yang tinggi," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut mendoakan agar seluruh umat Islam di negara ini yang sedang menunaikan ibadah haji dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk menghadapi segala cabaran, serta terus berserah diri dan bermunajat dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.