fb fb fb fb fb

Program gotong-royong kacau bubur Asyura eratkan perpaduan

Foto RTM

ALOR SETAR, 27 Julai - Semangat kebersamaan dan perpaduan rakyat terus disemarakkan melalui penganjuran Program Gotong Royong Kacau Bubur Asyura yang disertai masyarakat berbilang kaum dan agama selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, di Wakaf Che Nab, di sini.
  
Program anjuran Rimba Aerobic Club (RAC) Alor Setar turut disertai kira-kira 30 ahlinya serta penduduk kampung, mengacau bubur Asyura dengan memakai Bayu Kurung Kedah berlatarbelakangkan rumah tradisional Melayu.
 
Pengerusi RAC, Datin Seri Wendy Tham berkata, aktiviti memasak dan menyediakan bubur Asyura tersebut terbuka kepada ahli sahabat RAC bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan dan keprihatinan sesama masyarakat untuk berganding bahu dalam menyediakan bubur Asyura pelbagai variasi, sebagai lambang perpaduan dan semangat gotong-royong yang masih kuat diamalkan dalam organisasi dan komuniti.

"Bubur Asyura ini memang sinonim dengan keluarga kami di Rimba Aerobic Club (RAC) kerana kami terdiri daripada pelbagai kaum seperti saya yang berketurunan Siam, selain Melayu dan Cina. Ia mencerminkan perpaduan dalam keluarga besar RAC.

"Majlis memasak bubur Asyura ini memang diadakan setiap tahun sebagai acara tahunan kami dengan menampilkan sesuatu menu yang istimewa khas daripada Rimba Aerobic Club sendiri," katanya.

Bubur Asyura kemudian diagihkan kepada semua tetamu yang hadir sebagai juadah istimewa yang bukan sahaja menyelerakan, malah sarat dengan nilai simbolik bersempena bulan Muharam.
 
Ia bukan sahaja menghidupkan budaya tradisional masyarakat Melayu-Islam, malah mengukuhkan ikatan ukhuwah serta menyemai semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.
 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN