KUALA LUMPUR, 27 Julai -Penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara meluas oleh perniagaan dan pekerja di Malaysia dijangka mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara merentasi pelbagai sektor, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Dalam kenyataan hari ini, Gobind berkata AI Generatif sahaja dapat menjana kapasiti produktif bernilai USD113.4 bilion dalam ekonomi negara.
Bercakap pada Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Tadbir Urus AI Global semasa Persidangan AI Dunia 2025 di Shanghai, China semalam, beliau menekankan tanggungjawab bersama negara-negara di seluruh dunia untuk memastikan AI terus menjadi kuasa kebaikan.
“Dalam era yang dibentuk oleh AI ini, kerjasama adalah penting. Hanya melalui komitmen bersama, inovasi dan kewaspadaan, kita dapat memastikan dunia digital kekal sebagai satu kuasa kebaikan.
“Matlamat utama adalah merapatkan jurang digital antara negara-negara dan meningkatkan kerjasama digital agar pembangunan dan tadbir urus teknologi baharu memberi manfaat kepada seluruh manusia,” katanya.
Gobind berkata Malaysia mengalu-alukan dokumen hasil Pelan Tindakan Tadbir Urus AI Global, dan menekankan usaha domestik termasuk penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada Disember lepas bagi menyelaras dan memacu agenda AI negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Gobind berkata Malaysia menerajui penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN dan mengetuai perbincangan mengenai keselamatan AI.
Gobind berkata rangkaian itu akan menjadi platform serantau ASEAN bagi keselamatan AI, memudahkan pertukaran amalan terbaik, kerjasama penyelidikan, pembangunan standard dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“Dengan memacu inovasi, meningkatkan keupayaan membuat keputusan dan mengoptimumkan penggunaan sumber yang berharga, AI bukan sekadar mengubah industri, ia sedang mempercepatkan pembangunan global.
“… dan dalam proses itu, ia mengingatkan kita bahawa teknologi masa depan mesti dibangunkan secara bersama, merentasi sempadan, dengan visi bersama untuk dunia yang lebih baik,” katanya.
Gobind berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada dua acara global utama tahun ini iaitu Sidang Kemuncak AI ASEAN yang julung kali diadakan pada Ogos dan Ekspo Bandar Pintar Dunia di Kuala Lumpur pada September, yang bertujuan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan ahli akademik bagi membincangkan AI, inovasi dan transformasi digital. - BERNAMA