fb fb fb fb fb

PJR MADANI di Perlis dapat sambutan, harga potongan sehingga 40 peratus

Foto RTM

PADANG BESAR, 27 Julai - Lebih 1,000 penduduk menghadiri Program Jualan Rahmah (PJR) MADANI di Agro Bazaar Rakyat Borong Wann Felcra Lubuk Sireh
yang berakhir malam tadi bagi mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.

Program yang berakhir malam tadi menawarkan 28 jenis barangan keperluan pada harga 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding harga biasa.

Inisiatif pelaksanaan tersebut dilihat menjadi nadi kepada kepada rakyat dalam usaha meringankan beban ditanggung disebalik kenaikan kos sara hidup ketika ini dengan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga murah.

Menurut Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Nan Wan Din, program dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis khususnya untuk penduduk di kawasan Parlimen Padang Besar serta berdekatan.
 

"Alhamdulillah, setakat hari ini, Jualan Rahmah berjalan seperti biasa dan menerima sambutan baik daripada penduduk setempat dan diharap program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia membantu meringankan beban pengguna dengan adanya potongan sehingga 30 peratus hingga 40 peratus," katanya ketika Program Jualan Rahmah MADANI, di Perlis.
 
Bagi penduduk, Nor Hayati Abd Razak, usaha dilaksanakan KPDN bersama Agrobazaar tersebut cukup dinanti-nantikan dan peluasan pelaksanaanya di kawasan kampung membolehkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum berjimat dalam berbelanja barangan keperluan harian.

"Insya-Allah, keperluan yang dicari oleh penduduk di sini memang memuaskan. Barang-barang yang ditawarkan sesuai dan harganya juga berpatutan serta mampu milik, sesuai dengan keperluan masyarakat setempat," katanya.

KPDN Perlis sehingga kini telah melaksanakan 254 Program Jualan Rahmah MADANI secara menyeluruh melibatkan kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN