BANDAR ENSTEK, 20 Februari - Program Pensijilan Instrumen Berasaskan Kompetensi: Penilaian Tingkah Laku Kendiri Bersandarkan Peristiwa (CBI BESA) diperkenal untuk memperkemas sistem pengurusan bakat kepimpinan di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md. Amir berkata, buat masa ini 51 peserta berjaya melengkapkan CBI BESA peringkat kebangsaan.
Mereka terdiri daripada peserta Kohort 1 dan Kohort 2 dari 20 universiti awam yang diberi amanah memantapkan peranan sedia ada kumpulan pentadbir dalam menguruskan bakat kepimpinan di institusi masing-masing.
“Sesungguhnya, kecemerlangan sesebuah universiti itu tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi semata-mata tetapi juga bergantung kepada struktur pengurusan dan governan yang mantap. Tanpa sokongan kumpulan pentadbir universiti, tidak semua urusan dapat berjalan dengan mudah dan lancar,” katanya di Majlis Apresiasi: Program Pensijilan Instrumen Berasaskan Kompetensi di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Program tersebut menjadi pelengkap kepada Program Pengurusan Bakat Untuk Kecemerlangan (TaME) dan dibangun berdasarkan amalan terbaik universiti awam di negara ini untuk dimanfaatkan oleh semua pihak terlibat.
“Agenda pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan semakin penting kerana negara pada hari ini sedang melalui satu arus perubahan yang besar dalam melahirkan insan yang berkualiti dari segi ilmu, nilai dan keupayaan memimpin,” kata Mohamad Azhan Md. Amir lagi.
Mengulas lanjut, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program CBI BESA kini memasuki kohort ke-3 sejak dimulakan pada 2021.
“Pengurusan bakat memerlukan usaha dan kerjasama semua pihak serta sokongan kukuh di peringkat pengurusan tertinggi sesebuah organisasi pendidikan tinggi. Dengan demikian, agenda CBI BESA diharap dapat melengkapkan usaha KPT memperkasakan kecemerlangan bakat di bawah Lonjakan 2, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
“Peranan kita sebagai warga universiti awam perlu ke hadapan dan sentiasa memberi penekanan seimbang antara keperluan universiti, industri, kerajaan, komuniti awam, serta konteks lokal dan persekitaran dalam pembangunan insan supaya sejajar dengan objektif kemakmuran bersama dan kelestarian bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus negara,” jelas Profesor Dr. Mohd Foad.
AKEPT dengan kerjasama UUM membangunkan inisiatif CBI BESA sebagai satu langkah pemerkasaan ekosistem pengurusan bakat berdasarkan kompetensi di semua universiti awam secara menyeluruh merangkumi bakat akademik dan pentadbir.