fb fb fb fb fb

Program BUDI MADANI, kira-kira 80 peratus pengguna diesel terima bantuan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 8 Jun - Kira-kira 80 peratus pengguna diesel bakal menerima bantuan tunai bulanan di bawah program BUDI MADANI.

Ini untuk menampung perbezaan harga diesel semasa dengan harga baharu yang akan ditentukan kemudian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan, ditentukan selepas mengkaji data dari segi penggunaan serta maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata, bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban pengguna akibat kenaikan tersebut.

"Kita buat begini supaya kita dapat penjimatan dan kita anggarkan, di bawah penyasaran subsidi ini kita dapat balik RM4 billion dan dengan RM4 billion inilah kita gunakan untuk mengurangkan beban fisikal negara.

"Kita gunakan untuk menambahbaik fasiliti-fasiliti yang ada dalam negara contohnya seperti sekolah, klinik kita buat program tebatan banjir, hasil dari penjimatan yang kita dapat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Tambah Amir Hamzah, pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil.

Pendaftaran BUDI MADANI dibuka mulai 28 Mei lalu susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN