KUALA LUMPUR, 8 April- Maybank telah bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN bagi bersama-sama memperkenalkan Program Biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) 2022.
Ia merupakan program biasiswa pertama oleh suatu organisasi serantau dengan kerjasama Sekretariat ASEAN.
Maybank melalui satu kenyataan berkata, biasiswa tersebut, yang akan melibatkan pelaburan kira-kira RM5 juta untuk pengambilan tahun ini sehingga 2025, adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank.
Ia untuk melabur dalam masa hadapan belia ASEAN melalui pendidikan.
AMS direka untuk menyediakan warga ASEAN yang muda, berbakat dan layak, terutamanya mereka dari segmen berpendapatan rendah, dengan biasiswa penuh.
Ini bagi melanjutkan pelajaran sarjana muda mereka di universiti berprestij di luar negara mereka sendiri, tetapi di dalam rantau ASEAN.
Untuk pengambilan pertama tahun ini, sejumlah tiga biasiswa ditawarkan, yang akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 10 setahun menjelang 2025 dan seterusnya.
Maybank berharap program biasiswa AMS akan menggalakkan integrasi intra-ASEAN yang lebih besar dengan meningkatkan hubungan pendidikan di antara negara anggotanya.