fb fb fb fb fb

Kejayaan PICK pastikan 98% kes COVID-19 bergelajala ringan

KUALA LUMPUR, 8 April- Kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memastikan kebanyakan pesakit COVID-19 mengalami gejala ringan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata dalam Fasa Peralihan ke endemik kini, hampir 98% kes aktif COVID-19 hanya perlu berisolasi di rumah tanpa rujukan ke hospital.

“Sebanyak 97.6% pesakit COVID-19 menjalani kuarantin di rumah, 0.2% di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, dua peratus di hospital, 0.1% di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa alat pernafasan dan 0.1% di ICU dengan alat pernafasan,” katanya menerusi catatan di Twitter.

Menurut Khairy, pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 Secara Maya (VCAC) dibuat menerusi aplikasi MySejahtera iaitu pesakit perlu mengisi borang Penilaian Kendiri atau Health Assesment Tool (HAT) dua kali sehari tentang gejala mereka.

Lebih 70% kes COVID-19 di rumah mengisi HAT setiap hari dan data ini digunakan untuk mengenal pasti kes yang merosot dan perlu dirujuk ke hospital, katanya.

Beliau berkata sekiranya data HAT pesakit COVID-19 menunjukkan kemerosotan ketara, notifikasi akan dihantar bagi memberi pilihan kepada pesakit untuk datang ke fasiliti kesihatan.

Malaysia mencatatkan 11,994 kes positif COVID-19 semalam dengan 11,904 kes atau 99.25% dalam kategori satu dan dua atau bergejala ringan manakala 90 kes atau 0.75% dalam kategori tiga, empat dan lima.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

Media Baharu