fb fb fb fb fb

Program AI Summer Camp 09-University Tour gilap kebolehan mahasiswa

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (busana kuning) pada Pembukaan Program AI Summer Camp 09-University Tour di Kangar hari ini

KANGAR, 4 Jun- Program AI Summer Camp 09-University Tour merupakan anjakan tepat bagi menggilap kebolehan mahasiswa terutama anak-anak Perlis dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, program julung kali dilaksanakan itu berpotensi dijadikan sebagai persediaan kompetensi diri serta ruang jaringan pelajar dalam bertindak balas terhadap keperluan pasaran kerja.

"Jadilah kita insan yang membawa kebaikan dan manfaat kepada orang lain. Semoga ilmu, kemahiran dan pekerjaan yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk membuka ruang ke arah kemajuan dan pembangunan segenap masyarakat.

"Saya menyeru agar ikatan kerjasama antara universiti bersama Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCOEE) terus kukuh untuk menjayakan inisiatif berimpak ini.

"Besar harapan saya agar program ini berjalan lancar dengan pengorbanan usaha dan masa semua pihak, supaya kita dapat secara terus menerus meningkatkan lagi mutu hidup dan kualiti," titahnya.

Baginda bertitah sempena Pembukaan Program AI Summer Camp 09-University Tour di Kangar yang dihadiri oleh 18 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Perlis.
 
Program itu dilaksanakan FCOEE dengan kerjasama Institut Visual Informatik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terbahagi kepada empat zon iaitu utara, timur, tengah dan selatan melibatkan UKM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Seramai 60 mahasiswa dari Perlis yang menuntut di IPT sekitar zon terlibat akan menjadi perintis pelaksanaan enam modul pembelajaran berkaitan AI.

SITI AISHAH MD ISA