(Banduan warga asing melakukan pekerjaan sementara sebelum mereka dihantar pulang)
MANTIN, 20 Oktober- Sepuluh banduan warga asing bakal pulang ke negara asal setelah tamat menjalani Program Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan (3P).
Program 3P yang diperkenal oleh Jabatan Penjara Malaysia itu bertujuan melancarkan proses penghantaran banduan warga asing untuk pulang ke negara asal serta mengurangkan kesesakan di penjara.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu tahanan untuk mengumpul wang saku dan membolehkan mereka pulang ke negara asal tanpa melalui penempatan Depoh Tahanan Imigresen.
"Banduan-banduan asing yang layak sebelum dibebaskan, diberikan pekerjaan sementara supaya mereka ada pendapatan. Ia membolehkan mereka beli tiket penerbangan dan juga bekalan wang saku untuk mereka pulang ke negara asal." Jelasnya ketika ditemui pemberita.
Beliau menyatakan demikian pada majlis perasmian Program 3P di Pusat Reintegrasi Penghuni, Mantin.
Program itu merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Kedutaan Besar Republik Indonesia dan Syarikat Yoshitec Presicion Engineering (M) Sendirian Berhad.
(Datuk Ibrisam Abdul Rahman, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan))