fb fb fb fb fb

Lapor berita secara bertanggungjawab sepanjang liputan PRU15 - Annuar

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bergambar dengan para petugas 
media RTM yang akan bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-15)  

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Lapor berita secara bertanggungjawab tanpa langgar etika dan undang-undang berkaitan, demikian peringatan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada petugas media sepanjang membuat liputan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegas beliau, penyampaian maklumat yang cepat, tepat serta difahami rakyat sebahagian daripada pendekatan menjayakan proses demokrasi berparlimen di negara ini.

"Dalam saat begini, banyak juga pemberitaan yang akan melanggar etika tertentu dan menggunakan kesempatan untuk membuat hasutan dan sebagainya, peringatan yang hendak kita diberikan ialah sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang dalam suasana kebebasan media, jangan melanggari mana-mana peraturan serta undang-undang sedia ada.

"Ini kerana walau pun dalam keadaan musim pilihan raya dan kerajaan sementara namun kedaulatan undang-undang masih perlu dijunjung," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada petugas media RTM yang akan bertugas pada PRU15 di Angkasapuri, di sini hari ini.


(Tan Sri Annuar Musa ketika sesi temu bual bersama Nasional FM yang disiarkan secara langsung
di 34 stesen radio RTM bersempena Majlis Ramah Mesra bersama DJ dan Penerbit Radio di Wisma
Radio, Angkasapuri, hari ini) 

Sementara itu dalam program yang berlainan, Annuar berkata penggunaan aplikasi digital di negara ini lebih memfokuskan ke arah pembangunan produktiviti negara.

Namun, usaha mengawal aktiviti negatif seperti penyebaran maklumat palsu dan subversif akan terus dilaksanakan.

Jelas beliau, RTM memainkan peranan dalam memastikan penyebaran maklumat yang penting, tepat dan sahih.

"Jadi, kempen-kempen ataupun kegiatan advokasi ini boleh terus dimainkan, di sini RTM memainkan peranan yang penting untuk menyebarkan maklumat advokasi supaya perkembangan digitalisasi ini terjurus ke arah yang positif bagi rakyat," kata beliau selepas sesi temu bual bersama Nasional FM yang turut disiarkan secara langsung di 34 stesen radio RTM bersempena Majlis Ramah Mesra bersama DJ dan Penerbit Radio di Wisma Radio, di sini hari ini.

Annuar juga yakin masyarakat di negara ini cukup matang dan bijak dalam menepis segala aktiviti negatif berikutan ledakan digitalisasi ketika ini.

Media Baharu