fb fb fb fb fb

Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025, teroka strategi baharu sektor pertanian

Foto FB Arthur Joseph Kurup

SERDANG, 10 Jun- Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025 menyasarkan pengukuhan jaringan kerjasama dalam usaha menjamin keterjaminan makanan negara secara mampan.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, persidangan tersebut juga menjadi medan merumuskan hala tuju dan pendekatan baharu bagi menangani cabaran semasa sektor pertanian.

Tambahnya, persidangan seumpama itu mendorong penerokaan strategi baharu selain menarik penyertaan lebih ramai belia dalam sektor tersebut.

Persidangan dwitahunan berimpak tinggi itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, ahli akademik dan pemain industri.

“Persidangan ini adalah platform sangat penting untuk kita berkongsi ilmu, inovasi dan teknologi. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada cara pertanian lama jika mahu meningkatkan hasil, pendapatan petani dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import agromakanan,” kata Datuk Arthur semasa merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2025, di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Persidangan itu bakal berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) selain mendapat kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta beberapa agensi berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFOS) UPM, Profesor Dr. Anjas Asmara@Ab. Hadi Samsudin berkata UPM memperkenalkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pertanian Pintar, hasil maklum balas dari pihak industri.

Program itu dirangka bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi pertanian, termasuk automasi, analitik data dan pertanian pintar.

"Kita telah mewujudkan satu program akademik baharu yang dinamakan Ijazah Sarjana Muda Pertanian Teknologi Pintar bagi memenuhi keperluan industri. Sebelum ini, pihak industri menyuarakan bahawa graduan dalam bidang pertanian kurang didedahkan dengan aplikasi teknologi pintar yang semakin meluas dalam sektor ini.

Justeru, program baharu ini direka khusus supaya pelajar yang tamat pengajian dapat terus diserap ke dalam industri, selari dengan penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara," kata Profesor Dr. Anjas Asmara.

Persidangan kali ini menampilkan 10 pembentangan kertas kerja plenari termasuk daripada Ketua-Ketua Pengarah agensi utama di bawah kementerian.

Selain itu, persidangan tersebut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pelajar, penyelidik, penggubal dasar, pemain industri dan agensi kerajaan menerusi pelbagai platform interaktif seperti forum, pameran dan sesi jaringan profesional.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM