KUALA LUMPUR , 10 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan keseluruhan 48 mangsa terbabit dalam nahas bas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer (KM) 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi semalam.
Menurut kenyataan, KKM memaklumkan mangsa terlibat terdiri daripada 44 orang dalam bas dan 4 orang dalam kereta.
Daripada jumlah itu, 15 mangsa meninggal dunia, dengan 13 mangsa maut di lokasi kejadian dan dua lagi disahkan meninggal dunia di fasiliti kesihatan.
Seramai 33 mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Gerik, manakala 13 mangsa telah dirujuk ke hospital lain.
Daripada jumlah yang cedera itu, 18 mangsa telah dibenarkan pulang dan 15 masih dirawat di hospital setakat pukul 10 pagi hari ini.
Menurut KKM, 10 mangsa yang cedera dirawat di Hospital Taiping, dua di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak dan tiga lagi dirawat di Hospital Baling, Kedah.
Kebanyakan mangsa mengalami pelbagai kecederaan, bagaimanapun tiada mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sementara itu, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan terus memantau perkembangan insiden berkenaan dan bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan.