NIBONG TEBAL, 10 Jun- Kementerian Pendidikan (KPM) terus memantau rapat perkembangan semasa pasangan guru yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk mengambil komitmen penuh serta tanggungjawab dalam memantau perkembangan keluarga terbabit.
"Kita dapat kita dapat kenal pasti maklumat itu semalam. Salah seorangnya adalah cikgu dan telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Baling. Kita juga telah mengarahkan JPN Kedah untuk mengambil tanggungjawab dan komitmen untuk memantau keadaan guru ini dan keluarganya.
Guru ini kita dimaklumkan sedang mendapatkan rawatan bersama keluarganya di Hospital Baling. Jadi dari segi kebajikan dan juga pemantauan berkaitan dengan kebajikan beliau berada dalam pengetahuan dan juga makluman Kementerian Pendidikan Malaysia", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal.
Semalam, pasangan guru, Mohd Lutfi Radzi, 37 tahun bersama isteri, Nurul Ain Zakaria, 35 tahun serta dua anaknya terbabit dalam nahas bas penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Insiden terbabit meragut nyawa 15 penuntut UPSI yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke Tanjung Malim.