MELAKA, 1 Mei- Seorang pemandu dan kelindan lori ditahan dalam Operasi Khas Pengarah (Lebih Muatan) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka malam tadi.
Timbalan Pengarahnya, Khairul Aswad Abdul Halim berkata kedua-dua individu berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu didapati positif dadah jenis syabu, hasil saringan awal oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri yang turut serta dalam operasi tersebut.
Beliau berkata operasi bermula pukul 10.00 malam dan berakhir 9.00 pagi tadi melibatkan pemeriksaan ke atas 89 buah kenderaan, dengan 21 daripadanya diarahkan ke pusat timbang.
Daripada jumlah itu, 19 kenderaan dikesan membawa muatan berlebihan, manakala sebuah lori turut dikeluarkan notis mengikut Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal hadir untuk ditimbang.
Secara keseluruhan, sebanyak 43 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.