fb fb fb fb fb

Aktiviti menyelam skuba : Warga emas meninggal dunia di Pulau Tioman

Pastikan tahap kecergasan fizikal dalam keadaan baik sebelum melakukan aktiviti menyelam.

KUANTAN, 6 Julai - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas melakukan aktiviti menyelam di pantai Kampung Paya, Pulau Tioman, Rompin, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa, Low Choon Foi, 72 tahun, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di tepi pantai pukul 7.40 malam oleh rakannya, selepas mereka ke lokasi itu untuk menyelam pukul 6.30 petang.

"Rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan pihak pengurusan tempat penginapan untuk membawa Low ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada pukul 9.20 malam," katanya.

Supt.Sharif Shai berkata pemeriksaan awal ke atas mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti menyelam supaya memastikan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal berada dalam keadaan baik.

HASRON BIN HASSAN