fb fb fb fb fb

Malaysia terima anugerah kepimpinan statistik OIC

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerima pengiktirafan dan anugerah khas/FB DOSM

ANKARA, 3 Oktober – Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menerima pengiktirafan dan anugerah khas atas kepimpinan cemerlang serta sumbangan besar beliau dalam memperkukuh pembangunan dan kerjasama statistik negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, pengiktirafan itu disampaikan pada sesi Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-StatCom) ke-14 yang berlangsung di Ankara, Turkiye, dari 1 hingga 3 Oktober.

Beliau diberi penghormatan melalui penyampaian anugerah khas oleh Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial untuk Negara-negara Islam (SESRIC).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah SESRIC, H.E Puan Zehra Zümrüt Selçuk, sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau memperkukuh statistik rasmi di peringkat nasional, serantau dan global.

Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan OIC-StatCom pada tahun 2018–2019, selain dilantik sebagai Naib Pengerusi pada sesi ke-12 pada 2023.

"Rekod itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kepimpinan statistik negara," menurut kenyataan itu.

Pencapaian cemerlang Malaysia turut terserlah, apabila menduduki tempat teratas dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch, sekali gus menjadi penanda aras bagi Negara Anggota OIC.

Menurut kenyataan DOSM, Malaysia dan SESRIC turut memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) yang pertama kali dimeterai pada 2020 di New York.

Pembaharuan itu menegaskan semula kerjasama dalam pembangunan kapasiti statistik melalui Program StatCaB.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata, pengiktirafan yang diterima membuktikan kekuatan visi bersama Negara Anggota OIC dalam memenuhi permintaan global terhadap data yang boleh dipercayai serta bertepatan.

Sesi tiga hari itu diakhiri dengan komitmen baharu oleh Negara Anggota untuk memperkukuh kerjasama statistik, menggalakkan inovasi digital dan menyokong dasar berasaskan bukti.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ