fb fb fb fb fb

Menteri Luar Jepun hadir Mesyuarat AMM Ke-58, tuan rumah bersama CEAPAD IV

Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, dijangka tiba di Malaysia pada 9 Julai ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, akan tiba di Malaysia pada 9 Julai bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, serta Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, berkata ia merupakan kunjungan pertama Iwaya ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Oktober tahun lepas, sekali gus mencerminkan sokongan padu Jepun kepada Kepusatan ASEAN dan menunjukkan hubungan erat antara Tokyo dan Kuala Lumpur.

“Ini mencerminkan penglibatan aktif Jepun dengan Asia Tenggara serta komitmen kami untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam isu serantau dan global khususnya bantuan kemanusiaan, peralihan tenaga, pendidikan serta keselamatan perairan,” katanya.

AMM ke-58 dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Malaysia mengambil alih peranan selaku Pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun ini daripada Laos.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang peranan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Jepun menjadi rakan dialog pertama ASEAN pada 1973, dan kerjasama itu dimuktamadkan pada 1977.

Sepanjang beberapa dekad, Jepun telah secara berterusan memperluas penglibatannya dengan ASEAN, termasuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) pada 2004, melantik wakil khas ke ASEAN pada 2010 dan menempatkan perwakilan tetap di Jakarta pada tahun berikutnya.

Pada 2023, ASEAN dan Jepun meningkatkan hubungan menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif, melambangkan sokongan Tokyo terhadap Kepusatan ASEAN dan kerjasama serantau meliputi politik, ekonomi dan sosiobudaya.

Antara inisiatif utama Jepun ialah CEAPAD yang dilancarkan pada 2013 bagi menyelaras sokongan terhadap pembangunan Palestin.

Penyertaan konsisten Malaysia dalam CEAPAD mencerminkan komitmen berterusan negara dalam usaha membela nasib rakyat Palestin.

CEAPAD IV yang dipengerusikan bersama Jepun dan Malaysia, akan diadakan pada 11 Julai. - BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI