MANJUNG, 6 Julai - Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Manjung (PBSD), Datuk Rashidi Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Firos Mohammed yang meninggal dunia secara mengejut ketika menyertai kejohanan bola sepak di sini, semalam.
Beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan bantuan kecemasan sebaik mungkin di lokasi kejadian sejurus insiden berlaku.
"Walaupun segala usaha telah kita lakukan apabila pasukan kesihatan kita telah masuk secara bergilir daripada KPJ, daripada TNB Tanah Manjung dengan kepakaran doktor dan jururawatnya tetapi apakan daya, Allah menentukan segalanya,"katanya.
Datuk Rashidi bercakap kepada pemberita selepas tamat kejohanan yang menghimpunkan barisan legenda bola sepak dari empat negeri utara tanah air iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Bekas penjaga gol Pulau Pinang era 1990-an, Firos Mohammed meninggal dunia selepas rebah secara mengejut ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Legend All Star di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku pada minit ke-27 perlawanan melibatkan pasukan Veteran Pulau Pinang menentang Kedah. Kemunculan allahyarham pada kejohanan ini menjadi antara tarikan utama buat penyokong yang hadir.
Sementara itu Presiden Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Kedah Khamal Idris Ali, menyifatkan pemergian allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.
"Saya rasa satu kehilangan besar dalam arena bola sepak. Sebab mungkin di Kedah saya yang urus tadbir bekas pemain, tetapi di Pulau Pinang, allahyarham. Dan kami biasa bermain dalam satu pasukan ketika projek Barcelona dahulu. Kita dalam lingkungan umur yang sama, dan memang satu kejutan besar, sebab tadi kita berborak dengan dia, dan kini kita ditinggalkan dia."katanya.