BANDAR HILIR, 6 Julai - Malaysia berada di tangga kelima sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim dan mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 10 tahun berturut-turut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nilai pasaran pelancongan halal global menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Katanya, pada 2023 sahaja, pasaran pelancongan halal dianggarkan bernilai AS$256.5 bilion dan dijangka meningkat kepada AS$410.9 bilion menjelang tahun 2032.
"Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 di Malaysia bukan sahaja tepat pada masanya malah bersifat visi. Ia memberikan kita sebuah platform global untuk memperlihatkan keunikan sebenar negara kita. Biarlah Hari Pelancongan Sedunia di Melaka menjadi detik untuk kita memberi inspirasi kepada dunia, menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk memimpin, bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong dan bersedia untuk membentuk masa depan pelancongan yang berteraskan nilai serta penuh makna," katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berucap ketika menyempurnakan Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, dan Ulang Tahun ke-17 Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO, di sini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Dalam pada itu katanya, hingga Mei lalu, sebanyak lapan laluan udara antarabangsa baharu diluluskan menjadikan keseluruhannya kepada 116 laluan aktif, selain lapan perkhidmatan sewa khas.
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka memperkenalkan 800 inisiatif pelancongan bagi meningkatkan kesalinghubungan, aksesibiliti dan penglibatan budaya sebagai usaha memperkasakan sambutan Hari Pelancongan Dunia (WTD) yang bakal berlangsung pada September depan.
Ia juga bagi memastikan para pelancong merasai pengalaman menarik, bermakna dan berteraskan nilai sepanjang kunjungan mereka ke negeri itu.
"Antara inisiatif menarik yang ditawarkan termasuk, pakej penginapan promosi eksklusif, tiket masuk berharga RM10 ke beberapa tarikan utama terpilih, menu makan tengah hari atau malam berharga RM10 di restoran yang mengambil bahagian, promosi golf premium di empat padang golf berprestij di Melaka, penghidupan semula permainan tradisional seperti dam aji dan konda kondi, khusus untuk pelancongan keluarga dan belia, penambahan dua bot Melaka River Cruise bagi memperkayakan pengalaman pelancongan sungai. Kempen cabutan bertuah dengan hadiah premium yang menarik," katanya.
Melaka juga akan menjadi tuan rumah Global Meet Session anjuran United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Program tersebut dijangka menghimpunkan 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa dari 159 negara termasuk 500 wakil sektor swasta bawah naungan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO).
Tambah Datuk Seri Ab Rauf, Melaka menyasarkan 16.5 juta pengunjung dan pelancong tahun ini dengan unjuran hasil pelancongan melebihi RM23.48 bilion.