MELAKA, 6 Julai - Penganjuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 di Malaysia bukan sahaja tepat pada masanya malah berwawasan dan merupakan platform global untuk mempamerkan keunikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau merujuk kepada Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 yang kedua-duanya dijadualkan berlangsung di Melaka, September ini.
"Jadikan Hari Pelancongan Sedunia di Melaka ini sebagai detik kita memberikan inspirasi kepada dunia, menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk memimpin, bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong dan bersedia untuk membentuk masa depan pelancongan yang digerakkan oleh nilai dan bermakna,” katanya sambil menambah Melaka mencatatkan 15 juta pengunjung dan menjana RM12.68 bilion hasil pelancongan iaitu satu pencapaian penting di bawah kempen Tahun Melawat Melaka 2024.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada prapelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 dan Ulang Tahun ke-17 Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Banda Hilir, di sini malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menetapkan hala tuju negara iaitu pelancongan bukan lagi industri sampingan tetapi merupakan pemacu kelestarian, keterangkuman dan bersedia untuk masa depan.
Katanya bagi menjayakan hasrat itu, Malaysia mesti bergerak secara strategik dan kolaboratif, mengukuhkan kerjasama awam-swasta, menggalakkan pemulihan pelancongan yang lebih inklusif dan berdaya tahan serta meletakkan Malaysia sebagai hab yang mesra, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.
"Semasa lawatan saya ke London baru-baru ini, saya berbincang secara langsung dengan pemimpin perdagangan, media dan rakan syarikat penerbangan yang memberi tumpuan kepada membina momentum menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Bersama-sama, kami melancarkan gerakan untuk meningkatkan ketibaan pelancong United Kingdom (UK) daripada 390,000 kepada 500,000. Tahun lepas sahaja, mereka menyumbang lebih RM2.5 bilion dan dengan dorongan yang betul, saya yakin kita boleh melangkaui RM3.3 bilion," katanya.
Beliau menambah Malaysia juga kini disenaraikan sebagai destinasi kelima paling mesra Muslim di dunia dan secara konsisten kekal antara negara teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global sejak sepuluh tahun lepas. - BERNAMA