fb fb fb fb fb

Peluasan SARA hasil maklum balas rakyat, bantu 5.4 juta penerima

Peluasan kategori barangan bantuan SARA dibuat demi kelansungan hidup penerima

PUTRAJAYA, 1 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa peluasan kategori barangan asas di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) adalah hasil maklum balas rakyat.

Beliau menerusi kenyataan memaklumkan, langkah itu dibuat bagi memastikan kelangsungan hidup penerima.

“Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara rakyat demi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terbela. Peluasan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA ini adalah hasil maklum balas diterima daripada majoriti penerima. Kerajaan bertindak segera untuk melaksanakannya,” katanya.

Mulai Mei 2025, program SARA akan merangkumi 14 kategori barangan, termasuk makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan, peralatan persekolahan dan produk kebersihan rumah.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan memaklumkan, seramai 3.9 juta penerima atau 72 peratus daripada keseluruhan 5.4 juta penerima SARA telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas dalam bulan pertama selepas pengkreditan.

Seiring peningkatan penerima, jumlah kedai runcit dan pasar raya berdaftar turut bertambah kepada 3,700 buah, berbanding hanya 700 kedai pada tahun sebelumnya, bagi memastikan akses mudah termasuk di kawasan luar bandar.

Bagi tahun 2025, kadar maksimum bantuan SARA yang diterima penerima meningkat kepada RM2,100, berbanding RM1,200 pada tahun 2024.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD