fb fb fb fb fb

Galeri Nurly Sahirah akan diwujudkan di UPSI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tiga kiri) menziarahi pusara penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Besut hari ini/ BERNAMA

BESUT, 5 Julai - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan mewujudkan sebuah galeri khas yang akan dinamakan sempena pelajarnya, Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman yang terkorban dalam kemalangan di Gerik, Perak, bulan lepas.

Galeri Nurly Sahirah itu akan ditempatkan di bangunan baharu fakulti UPSI, Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami I-Furqan yang dijangka siap pada awal tahun 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan UPSI kepada pelajar cemerlang yang dikenali sebagai seorang penuntut yang sangat mencintai Al-Quran.

Galeri berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada para huffaz untuk menghafal Al-Quran melalui penulisan sendiri.

Sekiranya diizinkan ahli keluarga , pihak universiti akan menempatkan mushaf Al-Quran yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah, selain koleksi mushaf lain untuk ditempatkan di galeri berkenaan.

"Yang ini penghargaan pihak UPSI kepada pelajar yang sangat cemerlang yang meninggalkan kita yang ditinggalkan Allahyarhamah Nurly Sahirah ketika kejadian kita tahu Al-Quran itu berada di dada dia, kita tahu begitu hampir Al-Quran itu dengan beliau, jadi saya mengharapkan berdasarkan ibrah apa yang berlaku (kepada) Nurly Sahirah, saya mendoakan dan mengharapkan agar anak muda mengambil contoh," kata beliau kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai berjumlah RM7,500 kepada keluarga Allahyarhamah hasil sumbangan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia , Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Yayasan Wakaf Malaysia dan sumbangan Pusat Pungutan Zakat.

Selain keluarga Allahyarhamah Nurly, Mohd Na'im turut menziarahi keluarga 9 mangsa penuntut UPSI yang meninggal dunia serta mengalami kecederaan.

Mangsa yang cedera menerima bantuan wang tunai RM4,000 manakala baki penuntut UPSI yang terlibat kemalangan juga akan menerima bantuan secara berperingkat.

Keluarga penuntut yang disantuni juga turut menerima bakul makanan daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN