PUTRAJAYA, 5 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada di peringkat akhir perbincangan bagi merangka tindakan segera menangani isu waktu menunggu lama bagi pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyumbang kepada isu tersebut dan akan mengumumkan langkah penyelesaian dalam masa terdekat.
“Kita kini berada di peringkat akhir untuk merumuskan secara lebih tuntas segala perincian berkaitan rundingan yang akan dibuat. Ini meliputi isu jururawat, libat urus berkaitan kekurangan tenaga, jumlah keperluan dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Jadi, ya, kita berada di fasa terakhir. Harap semua dapat bersabar.
“Antara faktor dikenal pasti ialah beban kerja yang tinggi, kekangan dari segi penempatan pegawai serta kekosongan jawatan yang masih belum diisi,” jelasnya.
Tambah beliau, KKM kini sedang meneliti beberapa langkah strategik termasuk pengambilan segera tenaga kerja kesihatan secara kontrak, penempatan semula pegawai perubatan sedia ada, serta pemberian insentif khas di kawasan berisiko tinggi dan kritikal.
Terdahulu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly merasmikan Ekspo Makanan Selamat, di Putrajaya hari ini.
Ekspo tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia dan bertujuan melindungi kesihatan pengguna, selain menyokong kelancaran perdagangan makanan di peringkat antarabangsa.