BATU PAHAT, 5 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menerajui kerajaan negeri sepanjang tiga tahun lalu.
Beliau yang juga Presiden UMNO menasihatkan ahli-ahli parti itu supaya membuat pilihan yang tepat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Johor.
"Untuk PRU Negeri Johor ini, kita pilihlah dengan bijak. Insya-Allah, kita tahu prestasi menteri besar sekarang ini memang baik. Takkanlah pemimpin sebegini pun kita nak ganti dengan dengan orang lain?," katanya ketika berucap pada Persidangan UMNO Bahagian Sri Gading Batu Pahat di sini, hari ini.
Di bawah pentadbiran Datuk Onn Hafiz Ghazi, Johor mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di negara ini pada tahun lalu, iaitu 6.4 peratus, dengan nilai keseluruhan KDNK berjumlah RM158 bilion.
Pada tahun sama, negeri itu menjadi pengeluar utama hasil pertanian negara, menyumbang 17.3 peratus kepada KDNK pertanian nasional.