fb fb fb fb fb

Lelaki maut dirempuh MPV

Mohd Faizal Mohd Noor, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

DUNGUN, 5 Julai – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh MPV di Jalan Jerangau-Jabor, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Faizal Mohd Noor, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi di Kilometer 84, berhampiran Bandar Bukit Besi, selepas motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan.
 
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas sedang dalam perjalanan dari Bandar Dungun ke tempat kerjanya di Bandar Al Mukhtafi bilah Shah.
 
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, MPV terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah bertentangan dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya dalam keadaan cuaca berkabus tebal," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
Tambah beliau, mangsa kemudiannya gagal mengelak lalu dirempuh MPV terbabit menyebabkannya tercampak sejauh kira-kira dua puluh meter ke dalam gaung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
 
Bagaimanapun, pemandu MPV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Maizura berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
 
Kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

GRACE AISYAH KEDAYAN