SHAH ALAM, 1 Mei – Seramai 1.8 juta pengunjung direkodkan melawat Selangor sepanjang Januari hingga Mac 2025, sekali gus menunjukkan tren positif sempena Tahun Melawat Selangor (TMS2025).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin sasaran 8 juta pelancong mampu dicapai berdasarkan peningkatan ketara kehadiran pelawat meskipun Mac merupakan bulan Ramadan.
“Kita percaya dengan tren yang sangat baik, sampai bulan Mac kita sudah dapat hampir dua juta, iaitu 1.8 juta pengunjung. Maknanya dari bulan April hingga ke hujung tahun nanti, saya percaya kita dapat capai sasaran lapan juta pengunjung ke Selangor sebagaimana sasaran Tahun Melawat Selangor,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan acara Larian Hari Wanita Antarabangsa kategori 5 dan 10 kilometer yang disertai lebih 1,000 peserta di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Larian tersebut merupakan antara aktiviti utama sempena Selangor Mega Food Fest 2025 yang berlangsung sehingga Ahad ini, dengan lebih 100 usahawan tempatan mengambil bahagian.
Festival itu dijangka menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung dan bertujuan mempromosikan warisan kulinari, budaya serta pelancongan negeri Selangor kepada umum.