fb fb fb fb fb

UOB semak semula unjuran KDNK Malaysia

Unjuran diturunkan daripada 4.8% kepada 4.5%

KUALA LUMPUR, 1 Mei - UOB Kay Hian Wealth Advisor menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 4.5%, berbanding 4.8% sebelum ini.

Ketua Penyelidikan Pelaburan firma itu, Mohd Sedek Jantan berkata semakan tersebut dibuat setelah mengambil kira kesan ketidaktentuan tarif perdagangan yang lebih tinggi daripada jangkaan.

"Semakan ini mengambil kira beberapa faktor, antaranya keanjalan perdagangan Malaysia, kepelbagaian portfolio perdagangan dan potensi pengalihan semula perdagangan yang mampu mengurangkan kesan negatif daripada ketegangan perdagangan global,” katanya.

Tambah beliau, impak sebenar terhadap pertumbuhan KDNK dijangka terhad, sekitar 0.3% hingga 0.4% sahaja.

Mengenai unjuran semasa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia, Mohd Sedek menjelaskan, ia masih kekal dalam julat sihat kerana pertumbuhannya masih melebihi paras 4%.

Terdahulu, IMF turut menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.1% bagi tahun ini, berbanding 4.7% sebelum ini.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR