fb fb fb fb fb

UPSI pantau proses pembelajaran mangsa nahas bas di Gerik

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, hadir merasmikan Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Sik. Foto BERNAMA

SIK, 6 Julai - Tahap kesihatan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecederaan susulan insiden kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, dipantau secara berterusan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan itu bagi memastikan proses pembelajaran mereka tidak terjejas.

Menurut beliau, pihak universiti juga telah mengatur jadual pembelajaran dengan pendekatan kaedah pembelajaran di dalam talian, bergantung kepada keadaan semasa kesihatan mereka.

"Ada pelajar yang mengalami kecederaan yang serius dan memerlukan sedikit masa untuk pemulihan. Pihak universiti pada dasarnya agak fleksibel dalam memastikan supaya mereka benar-benar pulih dan dapat menyesuaikan pembelajaran mereka dengan keadaan mereka. Jadi hal itu telah dimaklumkan kepada pelajar-pelajar berkenaan, ada dalam kalangan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Sik, di sini.

Hadir sama, ketua UMNO bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abdul Kasim.

Dalam kejadian pada 9 Jun lalu, bas yang membawa penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan menyebabkan 15 pelajar meninggal dunia dan selebihnya mengalami kecederaan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI